Khamis, 27 Februari 2014

Jiwa

Sekerat jiwa tinggal
Separuh lagi ikut mati - sepi.
Terkepung dan meminta kepada Tuhan
Tetapi sering mendustai nikmat yang telah Dia berikan
Kecelaruan.







1.20 AM


Rabu, 26 Februari 2014

Sekilas

"Ikut kata hati nak kita jadi apa.
Di dunia ini, semua benda adalah pasti
Dari benak pemikiran yang hakiki
Apa yang ada pada diri adalah pinjaman dari zat-zat Tuhan
Senang maksud, kita pulangkan zat Dia semula kepada Dia"

Sekilas teringat nasihat pendek tapi mendalam maknanya daripada seorang rakan yang jauh



Katil, sambil memandang kipas 11.36 PM

Rasa

Yang pahit itu kebenaran
Yang manis itu penipuan
Orang putih kata
Bitter truth
Sweet lie







"The Verve - Bittersweet Symphony"
G-1-1C 11.14 PM

Gila

Gila.
Hampir semua manusia dalam dunia ini ada sifat kegilaan.
Ada orang tahu yang dia tahu
Ada orang tahu yang dia tidak tahu
Ada orang tidak tahu yang dia tahu
Ada orang tidak tahu yang dia tidak tahu
Boleh jadi bukan gila gangguan jiwa, tidak waras, atau pun tiada pertimbangan. Boleh jadi banyak lagi konotasi untuk gila.
Gila ego
Gila duit
Gila judi
Gila arak
Gila harta
Gila buku
Gila cinta
Gila tidur
Gila nafsu
Gila iseng
Gila kuasa
Gila makan
Gila belajar
Gila perempuan

Masing-masing ada kegilaan tersendiri. Namun apa dan bagaimana cara untuk mengawal kegilaan itu yang akan menentukan kesannya. Pengakhirannya selalu bergantung terhadap keputusan yang kita buat. Kita pilih nak jadi gila, obses atau pun sebaliknya.


"Bobby Long - Dead and Done"
Aminah Cafe 8.04PM

Selasa, 25 Februari 2014

Weltanschaauung

Perkataan Weltanschauung merupakan pinjam terjemah daripada perkataan Jerman yang membawa erti harfiah; Welt bermakna dunia manakala Anschauung bermakna pandangan. Pandangan dunia atau lebih tepat, pandangan hidup adalah konsep dasar falsafah yang mengacu kepada persepsi dunia yang lebih luas. Ianya juga adalah orientasi kognitif atau pemikiran yang menjadi dasar seseorang individu mahupun masyarakat. Pandangan hidup mencakupi seluruh pengetahuan dan sudut pandangan termasuk ilmu falsafah alami; anggapan fundamental, eksistensial (kewujudan) dan normatif.

Terdapat beberapa definisi yang diutarakan oleh beberapa ilmuwan.

Dictionary of Philosophy, Peter A. Angeles (1992:339)
Pandangan hidup adalah sebuah koleksi kepercayaan (yang merangkumi idea, gambaran, sikap, nilai-nilai) yang dipegang oleh seseorang individu ataupun berkumpulan tentang alam semesta, Tuhan dan masa hadapan. Pandangan hidup juga adalah pandangan yang komprehensif tentang alam semesta dari satu sudut menerangkan struktur hubungan dan aktiviti.

The World-view of Peninsular Malaysian Folk-Tales and Folk Dramas, Md. Salleh Yaapar (1985:253)
Pandangan hidup adalah salah satu istilah yang digunakan dalam kajian sosio-budaya untuk mengkonsepkan pandangan mereka dan realiti di sekeliling mereka.

The Islamic World-view, Mohd Kamal Hassan (1994:12)
Pandangan hidup adalah konsep yang komprehensif dari perspektif Islam mengenai alam semesta dan hubungan manusia terhadapnya, dengan itu ia berfungsi sebagai asas untuk falsafah atau pandangan hidup seseorang.

Prolegomena to the Metaphysics of Islam,
Syed Naquib Al-Attas (1995:1-2)
Pandangan hidup adalah wawasan realiti dan kebenaran yang muncul di hadapan mata minda serta mendedahkan apa itu kewujudan; kerana dunia kewujudan itu adalah yang diunjurkan oleh Islam. Dalam kata lain pandangan hidup itu ialah ru'yat al islam li al wujud.





"Sigur Ros - Sæglópur"
IRK SR2  12.30 PM

Selasa, 18 Februari 2014

Letih

Kehidupan ini memang rumit tapi aku yakin, diri sendiri yang menentukan untuk menjadi orang pesimis atau optimis untuk menghadapi kerumitan itu. Aku memang letih. Sejujurnya banyak benda yang membuatkan aku letih. Bukan fizikal tapi pemikiran dan emosi aku letih. Kepada aku, keletihan pemikiran dan emosi itu lebih berat daripada keletihan fizikal. Dan aku percaya semua manusia menghadapi keletihan yang berbeza-beza fasanya.

Aku letih menghadapi ragam manusia dan masalah-masalah yang sebenarnya tidak besar tetapi mereka sendiri yang tidak mahu mengambil inisiatif menyelesaikannya, lalu masalah itu terus menjadi lebih teruk. Dalam setiap kerumitan, aku cuba menghadapinya dengan tenang dan sabar. Acapkali aku mengajar diri aku supaya aku mengawal emosi dalam apa jua keadaan. Aku berjaya, namun keadaan itulah yang membuatkan aku letih.

Ironi, aku sendiri adalah seorang manusia. Aku sendiri mempunyai kemungkinan meletihkan sesiapa jua di luar sana. Iini memang kehidupan. Tiada kehidupan yang tiada masalah. Aku cuma berharap aku mampu pergi dari manusia yang pesimis dan yang sentiasa berfikiran negatif.
Aku percaya, aku mampu bebas dari belenggu keletihan ini.





"Butterfingers - 1000 Tahun"
G-1-1C 6.35PM

Khamis, 13 Februari 2014

Dahaga

Memerhati
Dengar diam angguk
Tersenyum sinis dan tergelak
Gelak hanya dalam hati
Gelak melihat gelagat manusia
Gelagat manusia yang ingin menang
Barangkali dia merasakan sudah menang
Namun menangnya ibarat mendapat lautan
Dengan segantang air masin itu, 
Kemenangan itu tidak bermakna kerana
Dia tidak akan dapat minum dan
Dia akan terus
Dahaga.




"Coldplay - Lost"
G-1-1C, 2.56 PM

Karma

Orang selalu sebut-sebut tentang hukum karma. Karma yang sebenarnya asal dari agama Hindu. Boleh jadi hukum karma ini pembalasan di dunia. Semua bergantung kepada perlakuan kita. Kalau baik, pembalasannya baik. Kalau buruk, pembalasannya buruk. Tapi kalau nak ikut konsep ini macam dah lari jauh pulak dari Islam. Setahu aku dalam Islam ada kifarah. Kifarah itu adalah pembalasan dari Tuhan melalui ujian-ujian Nya di dunia ini di atas perlakuan kita.

Beza dengan karma sebab konsep hindu ada kaitan dengan reincarnation - penghidupan semula. Jadi mungkin itu sedikit terpesong. Apa-apa pun, tak kiralah hukum karma atau kifarah sekalipun, konsep nya tetap sama, apa yang terjadi adalah kesan daripada apa yang kita nak buat, atau dah buat pun.

Kadang-kadang aku sendiri terfikir, sesuatu perkara yang jadi itu mesti ada sebabnya. Tak kiralah benda baik atau buruk. Kadang-kadang kenapa bila kita bercadang untuk pergi sesuatu tempat itu, ada saja hal-hal yang menghalang kita. Kalau kita teruskan juga untuk pergi, mesti ada perkara yang terjadi. Terutama kalau tempat-tempat yang 'kurang penting' untuk dituju.


Pernah tak kita buat pengiraan dalam pemikiran. Kenapa kita jatuh sakit? Mungkin Tuhan ingin ampunkan dosa kita. Kenapa kita rugi beberapa jumlah nilai? Mungkin satu masa dulu kita pernah mengambil hak orang lain? Kenapa kita dalam kesedihan? Mungkin kita pernah membuat orang lain bersedih atas perlakuan kita.

Begitu juga sebaliknya. Kadang-kadang, kita tak minta kebaikan atau kelebihan itu datang kepada kita. Kemungkinan kebaikan atau kelebihan yang kita terima itu hasil daripada keikhlasan kebaikan yang kita pernah lakukan sebelum ini. 

Aku tak pandai nak bicara soal agama. Aku mampu bicara soal kehidupan yang masuk akal yang boleh diterima dek akal pemikiran. Aku tak pandai nak nasihat orang. Diri aku sendiri pun masih terumbang ambing. Apa yang aku boleh beri, perkongsian pendapat dan pengalaman. Walau apa pun, aku sentiasa pegang satu perkara, 'berperilakulah sepertimana kita mahu diperlakukan'. Apa yang kita buat, itu yang kita dapat.



"Radiohead - Karma Police"
Gombak 12.58 AM

Selasa, 11 Februari 2014

Pluviophile

Sekarang ini bulan Februari yakni awal tahun memang sinonim dengan kehangatan dan kepanasan cuaca yang melampau. Keadaan macamni memang membuatkan orang-orang seperti aku, orang yang mempunyai penyakit kejiwaan pencinta hujan rasa resah, rasa kurang selesa. Aku memang suka hujan. Dalam keadaan sebegini, terdapat beberapa situasi pseudo yang menjadi pendapat aku. Waktu hujan sejuk; alasan yang tipikal dan klise. Aku tak boleh sangkal tapi sememangnya itu betul. 

Kepada aku cuaca memang mempengaruhi emosi. Terutama cuaca panas. Bila nak buat keputusan, banyak benda kena ambil kira. Badan panas, kepala berat, peluh menyimbah. Kalau ditambah lagi dengan orang-orang berperangai negatif, cakap benda-benda yang menyakitkan hati, yang memanaskan keadaan, memang boleh meletup. 

Tapi,
itulah guna kesabaran.

Waktu cuaca redup, mendung atau hujan, emosi lebih tenang. Secara saintifik, aku tak pasti tapi dari segi pengalaman, ya. Kalau waktu-waktu begitu, minda aku lebih lapang, mudah membuat keputusan, mudah dibawa berbincang, mudah mesra. Namun, bukan lah setiap masa perkara ini betul. Bergantung juga kepada konteks dan masa. Tidak semestinya cuaca panas bermakna seratus peratus membawa konotasi yang kurang menyenangkan dan tidak semestinya cuaca sejuk memberi impak yang baik. Boleh jadi juga sebaliknya.

Apa pun, aku tetap bersyukur sebab duduk di bumi Malaysia yang tidaklah terlampau sejuk seperti negara Rusia mahupun Greendland dan tidak terlalu panas seperti negara Oman mahupun Saudi Arabia. Kita bernasib baik di atas garisan khatulistiwa iaitu panas lembab.
Apa-apa pun, selamat layan ais kacang.


"Daughter - Youth"
Gombak 4.31 PM

Rabu, 5 Februari 2014

Berfikir

Empat tambah lima dapat sembilan
Tujuh tambah dua dapat sembilan
Enam tambah tiga dapat sembilan
Satu tambah lapan dapat sembilan

Cara kita berfikir tentang sesuatu mungkin berbeza antara satu individu dan individu yang lain. Namun pendapatan dan hasilnya mungkin sama. Dalam setiap perkara, toleransi adalah bahagian yang mustahak iaitu menerima dan mengambil kira pendapat mahupun idea setiap individu yang terlibat. Menggunakan modul pemikiran atau pun corak berfikir yang sama sahaja adalah lebih menjerumuskan diri di dalam takuk yang lama serta menyekat hak berfikir individu yang lain. Kreativiti dan idea setiap individu adalah berbeza-beza. Jadi hormati hak berfikir setiap individu.




"Radiohead - 2+2=5"
Gombak 3.39 PM