Rabu, 12 November 2014

Pendidikan II

Saya percaya bahawa perubahan kepada keadaan semasa yang dibawa oleh anak muda tidak semestinya berteraskan radikalisme dan pemberontakan. Bagi saya, saya memegang prinsip bahawa sesuatu perubahan itu boleh dilaksanakan melalui aktivisme yang berteraskan humanisme dan pendidikan. Pendidikan mencakupi dengan cara memberi pendedahan tentang sesuatu hal-hal, berkongsi idea-idea dan bertukar pendapat secara kritis sekalipun usaha kecil iaitu dengan memberi pendidikan percuma.

Hal ini kerana ramai anak-anak kecil dari golongan asnaf, anak yatim mahupun anak-anak di luar sana yang kekurangan, kebelakangan dan ketinggalan dari segi pendidikan kadangkala disisihkan atau diperkecilkan. Walhal mereka perlu dibantu kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup seperti anak-anak yang berada untuk ke tusyen atau membeli buku-buku tambahan. 

Pendidikan itu hak setiap insan. Yang penting adalah menanamkan kasih sayang kepada mereka supaya cinta kepada ilmu. Tetapi bukan hanya mengejar gred sahaja namun memaknakan ilmu itu. Jenis pendidikan itu juga merangkumi bahagian-bahagian yang meluas. Yang terutama, semaikanlah sifat cinta akan pembacaan, pengiraan malah seni juga kerana ianya adalah kunci kepada masa hadapan. Dengan pendidikanlah anak-anak ini akan bangun pada masa hadapan. Walaupun ianya hanyalah dengan pendidikan tidak formal atau pendidikan jalanan, sesuatu perkara itu mampu diubah dan diklarifikasikan pada suatu masa nanti.

Isnin, 27 Oktober 2014

Pendidikan

Sejauh mana pendidikan itu bermakna kepada mahasiswa? Pendidikan yang sedia ada adalah apa yang sistem mahukan dan itu akan menetapkan hasilnya. Bukan apa yang kita mahu. Mengapa revolusi pendidikan diperlukan? Kerana masyarakat terutamanya pelajar mahupun mahasiswa tiada kebebasan dalam berfikir kerana bergerak dalam arah yangsama, dalam satu doktrin sistem yang sama. Mahasiswa mampu membawa revolusi dengan membantu anak-anak kecil yang kebelakangan dengan membawa perubahan dari segi pendidikan mereka.

Mahasiswa bukan sekadar membantu namun berperanan sebagai penjaga kepada anak-anak kecil yang kurang bernasib baik dari segi sosio-ekonomi. Perubahan yang ingin dibawa bukan sahaja dari segi mengajar namun yang terutama dan paling penting ialah menekankan Modul Pembangunan diri anak-anak tersebut. Iaitu memberi kepercayaan kepada anak-anak kecil ini supaya membina identiti bahawa mereka mempunyai 'free will'. Satu gambaran kepada mereka bahawa mereka ada pilihan untuk memilih dan mempunyai tanggungjawab atas pilihan tersebut.

Mahasiswa juga perlu keluar dari kepompong masyarakat. Daripada menjadi pengguna (consumer) semata, mahasiswa dikerahkan untuk menjadi pengeluar atau pencipta untuk contribute kepada masyarakat. Mahasiswa mempunyai banyak kemudahan yang telah disediakan dan bukan semua golongan masyarakat di luar sana merasai akan kemudahan-kemudahan ini. Jadi secara natural, mahasiswa rasa bertanggungjawab untuk menggalas tugas membantuk masyarakat sosial di luar sana yang kekurangan dengan berkongsi ilmu dan pendidikan yang dimiliki.

Mahasiswa juga dipertanggungjawabkan untuk membantu pelajar-pelajar yang agak tertinggal dari segi pelajarannya. Kami juga ditekankan supaya membuang sifat penting diri atau mengutamakan kejayaan sendiri tanpa melihat dunia luar sejurus membiarkan mereka-mereka yang kekurangan tertinggal dibelakang. Pendidikan adalah solusi kepada semua masalah di dunia. Sebarang perubahan atau revolusi dalam pendidikan mampu memberi hasil yang berkesan kepada masyarakat. Bagaimana revolusi pendidikan mampu berlaku?

Berhenti bercakap tentang model pendidikan luar negara. Berhenti menunding jari ke semua pihak. Revolusi harus dimulai dengan langkah yang paling mudah. Mahasiswa harus turun padang, bersama masyarakat, mempunyai sifat empati dan membantu mereka yang kebelakangan dari segi pendidikan. Sikap memberi ranking kepada anak-anak kecil yang tidak berkemampuan dari segi sosio-ekonomi dan mengasingkan atau mendiskriminasi mereka yang kurang berkemampuan atau lemah dalam pelajaran adalah satu perkara yang harus dihakis dalam masyarakat.

Rabu, 8 Oktober 2014

Cinta

Semoga cinta akan revolusi terus bangkit dari abu-abu tamadun yang hampir mati

Selasa, 7 Oktober 2014

Hak

Kan sudah berlari jauh-jauh. Sudah terbang tinggi. Bercakap berdiskusi perihal itu ini kayaknya sudah penuh ilmu di kepala, terus mendabik dada. Turunlah, turun dan berpijak pada bumi yang nyata dan bertadabbur tentang pemilik sebenar ilmu itu. Bukan hak kita, tetapi hak Dia.

Isnin, 22 September 2014

ISIS



Oleh kerana beberapa rakan mengetahui bahawa esok saya mempunyai debat tentang ISIS di kelas Fiqh di pihak Against-ISIS dan bukan Pro-ISIS, mereka yang bertanya tentang pendapat saya mengenainya. Di sini saya ingin berkongsi, pandangan saya tentang ISIS agak bercampur. Saya tidak pasti setakat mana saya perlu memberi atau menghasilkan sesuatu pendapat kerana saya memperolehi pelbagai informasi dari media arus perdana dan ia secara amnya menggambarkan perspektif negatif mengenainya. Namun, perspektif lain yang perlu untuk diperdebatkan atau dibahaskan mengenai keperluan untuk ISIS agak kuat juga, Seperti bagaimana keadaan mereka memerlukan untuk berdiri dan hak mereka dan nilai mereka sedang ditindas. Cuma, apa yang media arus perdana menggambarkan radikalisme ISIS, saya mendapati cara mereka tidak bertepatan dengan matlamat kerana perlaksanaan untuk sesuatu perkara itu haruslah bertepatan dengan agama dan kemanusiaan. Berdasarkan ini, saya juga mempunyai sedikit kesulitan untuk memberi pendapat yang kuat kerana saya benar-benar rasa saya perlu untuk mendapatkan akses kepada maklumat pada bahagian ISIS untuk mempunyai minda yang lebih jelas untuk membuat penghakiman yang adil atau pendapat yang tepat. Ini adalah salah satu artikel daripada pensyarah saya yang ingin saya berkongsi kepada semua untuk membacanya dan mempunyai sedikit sebanyak beberapa idea-idea tentang ISIS.

Rabu, 10 September 2014

Palat

Ada satu, ada dua, ada tiga sudah dibilang. Disampahkan lagi. Bermain dalam sudut benak otak, ingatan serdak serdak hijau mampat dicarik carik yang akhirnya terhidu asap berbau palat.

Selasa, 2 September 2014

Pergi

Semua pergi.
Semua yang hadir semua pergi.
Ketika tidak mahu, semua mahu.
Ketika mahu, semua tidak mahu.
Yang tidak mahu dan yang mahu,
sekarang semua sudah pergi.
Apa yang tinggal, tiada lagi.
Yang tidak mahu pun sudah pergi.
Apatah lagi yang mahu.
Pergi.
Pergi.
Pergi.
Sakit dalam hati.

Sabtu, 30 Ogos 2014

Hambar

Satu rasa yang makin lama makin tawar hambar dan hampir pudar. Sedikit demi sedikit perasaan itu terhakis dipapas sehingga aku rasa aku mahu mengambil klorox dan sental sampai habis.

Aku mahu perasaan itu hilang sehingga aku pasti perasaan itu tidak pernah wujud mahupun pernah bertapak dalam jiwa, hati, naluri, fikiran aku ini.

Pergilah.
Jangan kembali lagi dan aku akan anggap semua ini satu gurauan jenaka paling bisa yang pernah tertusuk jauh dalam urat dan tulang-belulang aku.

Terima kasih.

Jumaat, 29 Ogos 2014

Merdeka kah

Apakah sebenarnya kemerdekaan itu bagi seseorang individual secara harfiahnya? Adakah kebebasan dari segi fizikal dan jasmani diri ini membuktikan kebebasan menyeluruh?

Atau dari maknawi sebenarnya, keterbukaan fizikal ini adalah salah satu bentuk kepungan minda yang masih belum mahu menentang kemahuan dan keinginan walaupun sudah menjumpai kebenaran yang satu, yang jitu, yang wahid.

Secara jirim dan jisimnya, mungkin fizikal ini bebas tetapi disebaliknya, masih belum bebas dari belenggu norma kehendak manusia. Aku cuba mencari perubahan kebebasan itu.

Jumaat, 15 Ogos 2014

Alamiah

Roh yang selama berada dalam tubuh kasar selalu diberi pengetahuan-pengetahuan yang cukup tentang alam rohani yang lebih luas dengan bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang nyata.

Perasaan dan akalnya menjadi lebih halus dapat menangkap persoalan-persoalan rasa (mahsusat) lebih teliti, sedang akalnya lebih tajam menangkap persoalan-persoalan rasional dengan pemandangan, pemikiran dan analisa.

Individu itu akan dapat mengetahui rahsia-rahsia alam ini seluruhnya, ada bahagian-bahagian yang rosak binasa, ada yang kekal abadi dan tetap utuh. Adapun roh manusia dengan segenap pengertian dan kesadaran yang ada padanya.

Ahad, 3 Ogos 2014

Palestina

Ada satu garisan lurus membedakan antara dua perasaan aku. Rasa bersyukur kerana masih lagi hidup dalam keamanan di dalam negara ini (walaupun +/- sesetengah isu politik samada dari segi sensitiviti perkauman, isu feudalisme mahupun isu kepimpinan). Rasa bersyukur kerana masih mampu menjamah makanan setiap hari, masih mampu menghidu udara dan mampu berbantal lena untuk tidur. Rasa serba salah yang di maksudkan pula; di kala aku menjamah butiran nasi anak-anak Palestina makannya tidak menentu. Sedang aku menghidu udara yang bersih walaupun sedikit berjerebu, anak-anak Palestina tersesak menghidu udara berjelaga. Sedang aku lena berbantal untuk tidur, anak-anak Palestina tidak mampu melelapkan mata. Aku rasa bersyukur kerana nikmat ini masih ada tetapi aku juga rasa bersalah untuk menikmati nikmat ini.

Selasa, 15 Julai 2014

17:9

"Sesungguhnya Kitab ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang beramal soleh bahawa mereka akan beroleh pahala yang besar"

Salam Nuzul Al Quran

Ahad, 13 Julai 2014

Sitibrit

"Hidup itu bersifat baru dilengkapi pancaindera sebagai barang pinjaman bila diminta pemiliknya kembali menjadi tanah dan membusuk hancur dan bersifat najis karena sifatnya itu. Pancaindera tak dapat dipakai sebagai pedoman. Budi, pikiran, angan-angan, kesadaran satu wujud dengan akal bisa menjadi gila, sedih, bingung lupa tidur dan sering tak jujur ajak dengki terhadap sesama untuk kebahagiaan sendiri timbulkan jahat dan sombong ke lembah nista nodai nama dan citra. Manusia yang hakiki adalah wujud hak, kemandirian dan kodrat berdiri dengan sendirinya sukma menjelma sebagai hamba-hamba menjelma pada sukma napas sirna menuju ketiadaan badan kembali sebagai tanah" - Syekh Siti Jenar

Sidratul Muntaha

Dia membentuk manusia dari debu tanah, dan menghembuskan nafas ke dalam hidungnya iaitu nafas kehidupan. Lantas manusia itu menjadi satu jiwa dan Dia membuat sebuah taman ke arah timur di Eden; dan meletakkan manusia yang telah terbentuk. Dan keluarlah dari tanah yang dijadikan olehNya berkembang setiap pohon yang menyenangkan untuk penglihatan, dan baik untuk makanan; pohon kehidupan juga di tengah-tengah taman, dan pohon pengetahuan yang baik dan jahat.

Rabu, 9 Julai 2014

Jerman

Kerana Jerman menang 7 mata ke atas Brazil, masing-masing menggila. Bola adalah bola. Ideologi adalah satu isu yang lain yang berbeza. Jangan campurkan semua benda dalam satu masa. Maaf, ini hanyalah pendapat peribadi. Walaupun kadangkala kita merasakan diri kita adalah betul daripada yang lain, tapi seharusnya kita semak semula, adakah kita berpaksi kepada yang benar? Ini adalah peringatan untuk diri saya juga untuk sentiasa menyemak disebalik sesuatu itu. 


Kadangkala segelintir daripada kita terlampau taksub kepada sesuatu ideologi disebabkan hanya 10% justifikasi daripada pihak tersebut. Tidak semestinya Hitler telah bunuh yahudi dan tinggalkan segelintirnya, jadi bermakna kita harus menyokong Hitler mahupun Nazism. Atas kertas kajian lepas saya sendiri, dalam catatan peribadinya 'Mein Kampf' sendiri, Hitler menyatakan bahawa bangsa Aryan adalah bangsa yang lebih hebat daripada bangsa-bangsa yang lain. Hitler sendiri telah membawa sifat perkauman atau rasisme dari dulu lagi. 
"The racism can be seen through: the Germans he claimed were members of a superior Aryan race that justified its supremacy over lesser races; the Slaves of Eastern Europe, Asians and Blacks. Prejudiced against the Jews has been common in Europe for centuries" petikan dari buku yang saya baca 'The Rise of the Nazis' (1998) oleh Charles Freeman. Terdapat juga buku-buku lain yang menjadi rujukan saya ketika kajian.



Jadi pendapat saya tidak perlulah dibanggakan dengan ideologi ini kerana jikalau kita hidup di sana pada zaman itu, adalah mustahil kita dipandang. Oleh itu tidak perlulah taksub terhadap ideologi nazism. Kalau mahu menentang zionis Israel itu, adalah sememangnya harus. Namun tidak perlu kaitkan sokongan terhadap Nazism. Nah, menentang saja zionis Israel itu kerana penindasannya terhadap rakyat Palestine yang amat kejam di atas bedilan misil dan bom serta tidak berperikemanusiaan itu, tapi tidak perlu berpaksi kepada ideologi Nazism. Berdiri di atas pendirian sendiri, tidak perlu atas justifikasi untuk berpihak kepada ideologi itu. 

Sekian sekali lagi, mohon maaf ini hanyalah pendapat peribadi dan hasil daripada ilmu sejengkal laut, buah fikiran dan intipati kandungan pembelajaran dan kajian saya semester lepas. Segala yang mengetahui itu adalah milik Tuhan. Salam Ramadhan.

Khamis, 3 Julai 2014

Sendiri

Sendiri, bukan bermakna menyendiri atau mengasingkan diri. Isi yang aku cuba untuk kupas adalah tentang bagaimana kita cuba membuat sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.






"Travis - Closer"
Keramat AU3, 1.45 AM

Ahad, 29 Jun 2014

Ramadhan

Seharus manusia mempelajari akan jalannya makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh manusia melalui mulutnya, pembuluh makanan, usus besar atau usus kecilnya. Bagaimana makanan dan minuman itu diolah begitu rupa oleh bahagian-bahagian alat pencernaan makanan, sehingga urat-urat saraf dapat mengambil sari makanan itu untuk dijadikan darah, daging, tulang-belulang dan lapisan-lapisan kulit yang membaluti. Namun bersederhanalah dalam pemakanan kerana boleh membawa kepada kemudaratan.



Salam 1 Ramadahan.
Semoga berbuka nanti dalam kesederhanaan.

Sabtu, 21 Jun 2014

Langit

Cuba kau terngadahkan sebentar kepalamu ke arah langit, cubalah selidiki apa yang ada di dalamnya, bintang-bintangnya, terbit dan terbenamnya, matahari dan bulannya dan perbezaan masyriq dan maghribnya. Watak tabiatnya yang selalu bergerak terus tanpa berhenti sedikitpun, tidak pula terdapat perubahan sesuatupun mengenai jalannya. Semua itu berjalan melalui tempat-tempat yang sudah ditertibkannya, dengan perhitungan yang tertentu pula, tidak akan terlebih atau terkurang, sehingga nanti datangnya suatu masa yang Dia akan melipat seluruh yang ada ini termasuk juga langit dan isinya bagaikan menggulung surat. Perhatikanlah pula betapa banyaknya bintang yang bergemerlapan di angkasa itu, perbezaan warna dan bentuknya.


1.43 AM

Jumaat, 20 Jun 2014

Rugi

Alam semesta ini dapat diumpamakan sebagai sebuah rumah, langit adalah atapnya, bumi sebagai hamparannya dan yang lain-lain itu adakah perkakasannya. Bukankah sangat ajaib sekali jikalau kau pada suatu hari masuk ke istana misalannya, yang di dalamnya dibubuhi cat yang serba serbi indah perihalnya. Segalanya diliputi dengan emas yang luar biasa hebatnya. Tetapi, tidak habis kehairananmu, terus-menerus kau sebut-sebutkan, kau bincangkan perihal keindahannya saja sepanjang usiamu dan setiap harinya kau hanya melihat namun belum pernah sedikit pun kau memperbincangkan perihal apa-apa yang kau lihat itu, jauh sekali kau bertukar buah fikiran dengan kawan-kawan kau mengenai keistimewaan dan keanehan itu.


Alangkah bodohnya lagi jikalau di istana itu, kau hanya tahu memuaskan hawa nafsumu, melampiaskan kesyahwatan-kesyahwatanmu yang tiada kemanfaatannya sama sekali. Bukankah akhirnya tentu kau akan pulang ke rumah kau sendiri. Rumah kau yang kekal ialah akhirat. Jadi mengapa kau terpesona dengan berbagai macam tipuan ghurur dan kau terlupa memikirkan keindahan kerajaan langit dan bumi? Kau dan aku. Kita sama rugi.

2.10 AM

Rabu, 14 Mei 2014

Aneh

Ada suatu keanehan yang masih terdapat dalam diri kau itu. Misalan andaikata engkau melihat sebuah lukisan. Begitu hebatnya pelukis itu menggambarkan dan begitu indahnya apa yang dilakarkan itu, tetapi sama sekali tiada perhatian kau kepada diri pelukis itu sendiri. Sebenarnya setelah seseorang mengetahui sesuatu hasil karya yang hebat, haruslah dia menjunjungi tinggi pada pembuat karya itu sendiri. Jadi kepada pencipta diri kau dan pelukis itu sendiri harus kau junjungi.
Cuba kau kembali dulu kepada setitis air mani yang merupakan asal-usul manusia-manusia ini dahulu. Perhatikanlah keadaannya pada permulaannya dahulu dan kemudian apa yang terjadi atasnya itu. Bayangkanlah pula adakah kiranya mungkin terjadi, umpama seluruh jin dan manusia sedunia ini saling bantu-membantu supaya dapat membuatkan pendengaran, penglihatan, akal fikiran, kekuatan, pengertian dan nyawa bagi air mani itu? Atau umpamanya mereka disuruh membuat dari air mani itu menjadi tulang, urat, otot, kulit, daging dan rambut? Dapatkah hal ini dilakukan sekalian makhluk tersebut? Jangankan untuk membuatnya, malah untuk mengetahui hakikat yang sebenarnya dan bagaimana cara pembuatannya sekalipun makhluk tiada kuasa menguraikannya. Maka, adalah lebih baik menebalkan keimanan terhadapNya


5.01 AM

Jumaat, 25 April 2014

Alam

Perhatikanlah keadaan bumi itu yang sedang menjadi tanah mati, bila ia disirami air, pori-porinya bergerak, menggembung sejurus selepas itu ia menghijau dengan tumbuh-tumbuhan yang berbagai yang akhirnya menghadirkan pula berbagai jenis haiwan. Kemudian, intailah lagi, betapa Dia memperkukuhkan kulit bumi ini dengan gunung ganang, bukit bukau yang tinggi menjulang serta padat dan keras. Bertapa diperut gunung itu disimpan pula air, sehingga dikakinya terciptalah mata-mata air lalu menjadi hulu sungai yang mengaliri permukaan bumi

Dari balik batu kering dan tanah kotor, Dia pancarkan air murni yang jernih tawar yang Dia jadikan untuk sumber hidup segala. Maka diciptakan juga melalu air ini pelbagai ragam pohon-pohon dan tanam tanaman berupa padi padian, anggur dan tanaman rambat, zaitun, kurma, serta delima dan bermacam buah-buahan yang tak terhitung ragamnya. Semua ini berbeza dalam bentuk,warna, rasa, bau dan khasiat. Tentang enaknya yang satu melebihi yang lain, namun semua disiram hanya dengan sejenis air, dan tumbuh dari tanah yang sama.


Telitilah lagi tentang sifat dan tabiat tanaman itu yang bermacam-macam pula dan tentang kegunaannya yang amat banyak. Betapa Dia menempatkan pelbagai khasiat aneh pada tanam-tanaman ramuan ubat. Buah yang ini bernilai gizi nya, yang itu menambah tenaga, ada lagi yang memberikan ghairah hidup, namun ada juga berisi racun yang membawa maut. Tanaman yang ini berkhasiat dingin dan itu berkhasiat panas. Pangkalnya, tiada sebatang tanaman atau sehelai daun pun yang tiada manfaatnya bahkan pelbagai daya guna.



"Radiohead - Fake Plastic Tree"
3.23 AM

Ahad, 20 April 2014

Pengakhiran

Aku tidak pasti bagaimana.

Ahad, 13 April 2014

Faham

Semua orang ingin difahami. Namun begitu, berapa ramai yang mengambil inisiatif untuk memahami? Seringkali kita terdetik di dalam benak pemikiran, 'kenapa dia tak faham masalah aku?' 'kenapa dia buat macam ini dekat aku?' tetapi pernah tidak kita memikirkan dahulu sebab-musabab untuk memahami tindakan yang diambil oleh individu tersebut? Dalam sesuatu perkara, adalah amat mustahak untuk seseorang itu mengambil satu langkah mundur ke belakang dan memandang perkara itu daripada perspektif yang lain. 

Kadangkala, jika kita merasakan orang tidak memahami diri kita, kita sendiri harus melihat semula kepada diri ini dan bertanya, adakah kita sudah cukup memahami keadaan diri orang lain? Selain daripada itu, kita harus mengambil kira untuk tidak mementingkan diri. Yang paling penting dan terutama adalah mengurangkan sedikit keegoan diri dalam setiap aspek. Meminta maaf juga adalah salah satu langkah paling terawal untuk memahami keadaan seseorang individu itu.



Sekian, salam sore.




"Sonic Youth - Goo"
C3.3 7.04 PM

Sabtu, 5 April 2014

Manusia

Manusia dengan akal atau fikirannya adalah makhluk yang terbaik. Dia dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Yang berguna dan yang merosak. Bahkan dapat membezakan antara yang baik atau yang lebih baik; seterusnya yang jelek dan yang paling jelek; yang berguna dan yang paling berguna; antara yang merosak, yang lebih merosak dan yang paling merosak. Dengan perkataan lain, manusia adalah makhluk yang berpengertian dan berkesedaran.



"The Killers - Human"
5.32 PM

Khamis, 27 Mac 2014

Maaf

Hanya senandung maaf yang dapat digambarkan kerana menghilangkan diri buat seketika waktu kerana tersekat dalam kerterpurukan yang asing. Sisipan kopi, buku lukisan, artline dan beberapa helai nota History of Europe untuk kertas pertengahan semester Isnin hadapan. Akan wujudnya beberapa lakaran, persisnya ingin menjadi seperti pelukis tengkorak.






"Caspian - Long The Desert Mile"
Kedai kopi , 10.53 AM

Sabtu, 22 Mac 2014

Hilang

Hilangnya segugus kunci
Hilangnya empunya badan yang
ingin menghilangkan diri buat
seketika waktu dari segenap dimensi
palsu dan sangat virtual.

Hanya tinggal tau fu fah dan sirap ais.




"Tom Gabel - Harsh Realm"
Selayang 3.16 PM

Khamis, 20 Mac 2014

Kehendak

Setiap manusia ada kehendak masing-masing. Kehendak berbeza daripada keperluan. Keperluan itu sendiri sudah membawa konotasi yang penting dalam kehidupan. Tapi hari ini aku ingin berkisar tentang kehendak. Aku merasakan tidak salah mempunyai kehendak dan ianya memang satu perkara yang normal untuk mempunyai kehendak. Namun begitu, apabila kehendak yang ingin dipenuhi itu membawa permasalahan kepada diri sendiri dan orang lain, aku rasa itu amat tidak patut.

Jika kehendak itu membawa permasalahan kepada diri sendiri, itu terpulang kerana ianya subjektif dan bergantung kepada setiap individu. Tetapi yang aku ingin tekankan ialah kehendak yang membawa permasalahan kepada orang lain. Permasalahan itu boleh terbahagi kepada dua : 

1. Ingin individu lain memenuhi kehendak diri sendiri
Dalam kategori yang ini selalunya individu itu dituntut untuk memenuhi kehendak anda yang dia sendiri tidak mahu. Selalunya anda suruh atau mahu individu itu membuat dan memenuhi keperluan anda (yang sebenarnya kehendak). Individu tersebut pula apabila dia merasakan 'keperluan' anda itu tidak sepenting keperluan yang sebenar, dia akan rasa terpaksa. Konsekuensi apabila dia terpaksa adalah ketidak-efisyen-an individu itu membuak. Dan paling parah jika dia memenuhi kehendak-anda-yang-tidak-berapa penting itu dengan keterpaksaan yang menebal. Lalu, dia tidak akan mencapai jangkaan yang anda mahu.
2. Memenuhi kehendak diri sendiri tanpa mengira individu lain
Melihat dalam kategori ini pula, selalunya individu ini boleh diklasifikasikan sebagai individu yang sangat mementingkan diri. Kepada dia, adalah amat penting untuk dia mendapatkan semua yang dia mahu, semua yang dia rancang tanpa mengira kesan musabab yang besar. Selalunya individu ini rajin mengambil risiko dan tidak kisah apa yang akan terjadi.
Isi pentingnya sekarang ini yang aku ingin tekankan, berhentilah menyeksa individu-individu di sekeliling anda tidak kira tua atau muda untuk memenuhi kehendak anda.



"Snow Patrol - This Isn't Everything You Are" 
Student Lounge 2.51 PM

Isnin, 17 Mac 2014

Lain

vous n'êtes pas colorez ma vie
vous ne peignez pas ma vie
mais vous avez pris la couleur à l'abri
maintenant il est tout noir et blanc




"Chelsea Wolfe - Boyfriend"
HS Square 10.46 AM

Ahad, 16 Mac 2014

Tengkorak

Sentiasa mengoles mata pena dan melakarkan paras berupa tengkorak-tengkorak yang kayaknya mungkin menyerupai wajah-wajah yang ada signifikan dalam hidup. Sosoknya lampai seperti tiang lampu. Melangkah ke ruang kecil dan suhu haba sedikit tinggi lalu bau tahi kucing menusuk hidung. Lukisan - lukisan tersemat kemas di dalam bingkai gambar di Daiso. Segalanya berdebu di dalam kotak. Keropok lekor dibeli waktu petang tidak dimakan sehingga ke malam. Lemau. Kucing mengiau-ngiau ingin dilepaskan dari sangkar. Baju bergantungan. Pelukan bantal-bantal hitam. Tandas yang menakutkan adalah tandas pameran. Keanehan situasi apakah yang bermain di dalam kepala ini?


"Saycet - Sunday Morning"
2.00 AM


Sabtu, 15 Mac 2014

Rasisme


"Just be yourself," dia berkata

"We may choose to be ourselves but we may choose not to be racist," aku menjawab.

"Racism ataupun favouritism adalah dua perkataan yang berbeza namun begitu seringkali digunapakai oleh manusia untuk membeza-bezakan kasta mereka. Pada akhirnya, manusia akan terpisah jua seperti persempadanan benua di muka bumi ini, " dia menyangkal

"Pemisahan antara benua di muka bumi ini tidak menjadi masalah. Yang menjadi permasalahan apabila diskriminasi yang berlaku dan tidak mengambil kira hak pendapat dan suara atas dasar kaum yang diwakilinya. Favouritisme itu sendiri adalah salah satu bentuk pilih kasih dan bias. Dan dua situasi ini berlaku silih berganti, " aku menambah.

Perdebatan ini dalam pemikiran sahaja.
Tergantung,




"ACAB - Racial Hatred"
1.53 PM

Gigih

Tahun 2 Semester 1
Sains Kemanusiaan Pengkhususan Sains Politik

Subjek aku semester ini

Comparative Politics
Public Administration
Modern History of Europe
Science of Hadith
Islamic Aqidah
Halaqah 2

Aku cuba gigih berusaha untuk semester ini seperti semester yang lalu

Nafas

Hari ini aku masih lagi boleh bernafas. Aku mampu menghirup setiap komponen jisim di dalam udara yang dikurniakan oleh Tuhan. Aku sedut semua oksigen yang dianugerahkan olehNya penuh memenuhi liang rongga pernafasan hingga ruang paru-paru. Percuma. Aku tidak perlu membayar satu sen untuk itu. Tetapi aku sentiasa mendustakan nikmat yang diberikan selama ini. Kejamnya aku ini. Zalimnya aku ini. 






"Mogwai - The Sun Smells Too Nice"
C 3.3 10.37 AM

Jumaat, 14 Mac 2014

Cebisan

Aku rasa tidak salah kalau mengambil sepotong cebisan ayat dari kitab lain sebagai pedoman.

"Aku pulang dan melihat di bawah mentari, bahawa perlumbaan bukanlah buat yang pantas, peperangan bukan bagi yang kuat, tidak juga rezeki bagi yang bijaksana, kekayaan bukan buat mereka yang berpengetahuan, kemurahan hati bukan bagi orang yang terampil, tetapi kemasyuran dan kesempatan berlaku pada mereka semua" 

- Ecclesiastes , 9:11




9.11 PM

Individu

Kayu ukur untuk mengenali diri seseorang individu itu yang sebenar adalah apabila individu itu berhadapan dengan dua situasi:
Kesabaran ketika tidak mempunyai apa-apa
Keegoan ketika mempunyai segalanya






"Butterfingers - Kabus Ribut"
8.04 PM

Khamis, 13 Mac 2014

Relevan

Aku tidak tahu kegilaan apakah yang sedang melanda dunia ini ? Aku tidak pasti di mana relevannya menggunakan khidmat Raja Bomoh yang menggunakan teropong buluh, bubu mata pancing, kelapa dan tikar untuk mencari MH370. Aku boleh terima lagi akal logik jika manusia menggunakan alternatif lain seperti bantuan hubungan antarabangsa dan agensi-agensi luar mahupun berdoa dan bertawakal meminta kepada Tuhan atas kekuasaanNya. Tetapi aku tidak boleh terima perkara-perkara yang khurafat dan tahyul ini.





C 3.3 8.58 PM

Rabu, 12 Mac 2014

Udara

Kisah atas angin, 
Pasal udara.
MAS MH370
Jerebu

Dan aku demam.
Sekian.


"Radiohead - Airbag"
C 3.3 8.53 AM

Sabtu, 8 Mac 2014

Kebenaran

Adakah yang salah itu benar-benar bersalah
Adakah yang betul itu benar-benar betul?
Takziah kepada DS Anwar Ibrahim dan keluarga
di atas pemenjaraan 5 tahun atas kes sodomy - Saiful Bukhari 








"The Casualties - Riot"
10.45 AM C-3.3

Khamis, 27 Februari 2014

Jiwa

Sekerat jiwa tinggal
Separuh lagi ikut mati - sepi.
Terkepung dan meminta kepada Tuhan
Tetapi sering mendustai nikmat yang telah Dia berikan
Kecelaruan.







1.20 AM


Rabu, 26 Februari 2014

Sekilas

"Ikut kata hati nak kita jadi apa.
Di dunia ini, semua benda adalah pasti
Dari benak pemikiran yang hakiki
Apa yang ada pada diri adalah pinjaman dari zat-zat Tuhan
Senang maksud, kita pulangkan zat Dia semula kepada Dia"

Sekilas teringat nasihat pendek tapi mendalam maknanya daripada seorang rakan yang jauh



Katil, sambil memandang kipas 11.36 PM

Rasa

Yang pahit itu kebenaran
Yang manis itu penipuan
Orang putih kata
Bitter truth
Sweet lie







"The Verve - Bittersweet Symphony"
G-1-1C 11.14 PM

Gila

Gila.
Hampir semua manusia dalam dunia ini ada sifat kegilaan.
Ada orang tahu yang dia tahu
Ada orang tahu yang dia tidak tahu
Ada orang tidak tahu yang dia tahu
Ada orang tidak tahu yang dia tidak tahu
Boleh jadi bukan gila gangguan jiwa, tidak waras, atau pun tiada pertimbangan. Boleh jadi banyak lagi konotasi untuk gila.
Gila ego
Gila duit
Gila judi
Gila arak
Gila harta
Gila buku
Gila cinta
Gila tidur
Gila nafsu
Gila iseng
Gila kuasa
Gila makan
Gila belajar
Gila perempuan

Masing-masing ada kegilaan tersendiri. Namun apa dan bagaimana cara untuk mengawal kegilaan itu yang akan menentukan kesannya. Pengakhirannya selalu bergantung terhadap keputusan yang kita buat. Kita pilih nak jadi gila, obses atau pun sebaliknya.


"Bobby Long - Dead and Done"
Aminah Cafe 8.04PM

Selasa, 25 Februari 2014

Weltanschaauung

Perkataan Weltanschauung merupakan pinjam terjemah daripada perkataan Jerman yang membawa erti harfiah; Welt bermakna dunia manakala Anschauung bermakna pandangan. Pandangan dunia atau lebih tepat, pandangan hidup adalah konsep dasar falsafah yang mengacu kepada persepsi dunia yang lebih luas. Ianya juga adalah orientasi kognitif atau pemikiran yang menjadi dasar seseorang individu mahupun masyarakat. Pandangan hidup mencakupi seluruh pengetahuan dan sudut pandangan termasuk ilmu falsafah alami; anggapan fundamental, eksistensial (kewujudan) dan normatif.

Terdapat beberapa definisi yang diutarakan oleh beberapa ilmuwan.

Dictionary of Philosophy, Peter A. Angeles (1992:339)
Pandangan hidup adalah sebuah koleksi kepercayaan (yang merangkumi idea, gambaran, sikap, nilai-nilai) yang dipegang oleh seseorang individu ataupun berkumpulan tentang alam semesta, Tuhan dan masa hadapan. Pandangan hidup juga adalah pandangan yang komprehensif tentang alam semesta dari satu sudut menerangkan struktur hubungan dan aktiviti.

The World-view of Peninsular Malaysian Folk-Tales and Folk Dramas, Md. Salleh Yaapar (1985:253)
Pandangan hidup adalah salah satu istilah yang digunakan dalam kajian sosio-budaya untuk mengkonsepkan pandangan mereka dan realiti di sekeliling mereka.

The Islamic World-view, Mohd Kamal Hassan (1994:12)
Pandangan hidup adalah konsep yang komprehensif dari perspektif Islam mengenai alam semesta dan hubungan manusia terhadapnya, dengan itu ia berfungsi sebagai asas untuk falsafah atau pandangan hidup seseorang.

Prolegomena to the Metaphysics of Islam,
Syed Naquib Al-Attas (1995:1-2)
Pandangan hidup adalah wawasan realiti dan kebenaran yang muncul di hadapan mata minda serta mendedahkan apa itu kewujudan; kerana dunia kewujudan itu adalah yang diunjurkan oleh Islam. Dalam kata lain pandangan hidup itu ialah ru'yat al islam li al wujud.





"Sigur Ros - Sæglópur"
IRK SR2  12.30 PM

Selasa, 18 Februari 2014

Letih

Kehidupan ini memang rumit tapi aku yakin, diri sendiri yang menentukan untuk menjadi orang pesimis atau optimis untuk menghadapi kerumitan itu. Aku memang letih. Sejujurnya banyak benda yang membuatkan aku letih. Bukan fizikal tapi pemikiran dan emosi aku letih. Kepada aku, keletihan pemikiran dan emosi itu lebih berat daripada keletihan fizikal. Dan aku percaya semua manusia menghadapi keletihan yang berbeza-beza fasanya.

Aku letih menghadapi ragam manusia dan masalah-masalah yang sebenarnya tidak besar tetapi mereka sendiri yang tidak mahu mengambil inisiatif menyelesaikannya, lalu masalah itu terus menjadi lebih teruk. Dalam setiap kerumitan, aku cuba menghadapinya dengan tenang dan sabar. Acapkali aku mengajar diri aku supaya aku mengawal emosi dalam apa jua keadaan. Aku berjaya, namun keadaan itulah yang membuatkan aku letih.

Ironi, aku sendiri adalah seorang manusia. Aku sendiri mempunyai kemungkinan meletihkan sesiapa jua di luar sana. Iini memang kehidupan. Tiada kehidupan yang tiada masalah. Aku cuma berharap aku mampu pergi dari manusia yang pesimis dan yang sentiasa berfikiran negatif.
Aku percaya, aku mampu bebas dari belenggu keletihan ini.





"Butterfingers - 1000 Tahun"
G-1-1C 6.35PM

Khamis, 13 Februari 2014

Dahaga

Memerhati
Dengar diam angguk
Tersenyum sinis dan tergelak
Gelak hanya dalam hati
Gelak melihat gelagat manusia
Gelagat manusia yang ingin menang
Barangkali dia merasakan sudah menang
Namun menangnya ibarat mendapat lautan
Dengan segantang air masin itu, 
Kemenangan itu tidak bermakna kerana
Dia tidak akan dapat minum dan
Dia akan terus
Dahaga.




"Coldplay - Lost"
G-1-1C, 2.56 PM

Karma

Orang selalu sebut-sebut tentang hukum karma. Karma yang sebenarnya asal dari agama Hindu. Boleh jadi hukum karma ini pembalasan di dunia. Semua bergantung kepada perlakuan kita. Kalau baik, pembalasannya baik. Kalau buruk, pembalasannya buruk. Tapi kalau nak ikut konsep ini macam dah lari jauh pulak dari Islam. Setahu aku dalam Islam ada kifarah. Kifarah itu adalah pembalasan dari Tuhan melalui ujian-ujian Nya di dunia ini di atas perlakuan kita.

Beza dengan karma sebab konsep hindu ada kaitan dengan reincarnation - penghidupan semula. Jadi mungkin itu sedikit terpesong. Apa-apa pun, tak kiralah hukum karma atau kifarah sekalipun, konsep nya tetap sama, apa yang terjadi adalah kesan daripada apa yang kita nak buat, atau dah buat pun.

Kadang-kadang aku sendiri terfikir, sesuatu perkara yang jadi itu mesti ada sebabnya. Tak kiralah benda baik atau buruk. Kadang-kadang kenapa bila kita bercadang untuk pergi sesuatu tempat itu, ada saja hal-hal yang menghalang kita. Kalau kita teruskan juga untuk pergi, mesti ada perkara yang terjadi. Terutama kalau tempat-tempat yang 'kurang penting' untuk dituju.


Pernah tak kita buat pengiraan dalam pemikiran. Kenapa kita jatuh sakit? Mungkin Tuhan ingin ampunkan dosa kita. Kenapa kita rugi beberapa jumlah nilai? Mungkin satu masa dulu kita pernah mengambil hak orang lain? Kenapa kita dalam kesedihan? Mungkin kita pernah membuat orang lain bersedih atas perlakuan kita.

Begitu juga sebaliknya. Kadang-kadang, kita tak minta kebaikan atau kelebihan itu datang kepada kita. Kemungkinan kebaikan atau kelebihan yang kita terima itu hasil daripada keikhlasan kebaikan yang kita pernah lakukan sebelum ini. 

Aku tak pandai nak bicara soal agama. Aku mampu bicara soal kehidupan yang masuk akal yang boleh diterima dek akal pemikiran. Aku tak pandai nak nasihat orang. Diri aku sendiri pun masih terumbang ambing. Apa yang aku boleh beri, perkongsian pendapat dan pengalaman. Walau apa pun, aku sentiasa pegang satu perkara, 'berperilakulah sepertimana kita mahu diperlakukan'. Apa yang kita buat, itu yang kita dapat.



"Radiohead - Karma Police"
Gombak 12.58 AM

Selasa, 11 Februari 2014

Pluviophile

Sekarang ini bulan Februari yakni awal tahun memang sinonim dengan kehangatan dan kepanasan cuaca yang melampau. Keadaan macamni memang membuatkan orang-orang seperti aku, orang yang mempunyai penyakit kejiwaan pencinta hujan rasa resah, rasa kurang selesa. Aku memang suka hujan. Dalam keadaan sebegini, terdapat beberapa situasi pseudo yang menjadi pendapat aku. Waktu hujan sejuk; alasan yang tipikal dan klise. Aku tak boleh sangkal tapi sememangnya itu betul. 

Kepada aku cuaca memang mempengaruhi emosi. Terutama cuaca panas. Bila nak buat keputusan, banyak benda kena ambil kira. Badan panas, kepala berat, peluh menyimbah. Kalau ditambah lagi dengan orang-orang berperangai negatif, cakap benda-benda yang menyakitkan hati, yang memanaskan keadaan, memang boleh meletup. 

Tapi,
itulah guna kesabaran.

Waktu cuaca redup, mendung atau hujan, emosi lebih tenang. Secara saintifik, aku tak pasti tapi dari segi pengalaman, ya. Kalau waktu-waktu begitu, minda aku lebih lapang, mudah membuat keputusan, mudah dibawa berbincang, mudah mesra. Namun, bukan lah setiap masa perkara ini betul. Bergantung juga kepada konteks dan masa. Tidak semestinya cuaca panas bermakna seratus peratus membawa konotasi yang kurang menyenangkan dan tidak semestinya cuaca sejuk memberi impak yang baik. Boleh jadi juga sebaliknya.

Apa pun, aku tetap bersyukur sebab duduk di bumi Malaysia yang tidaklah terlampau sejuk seperti negara Rusia mahupun Greendland dan tidak terlalu panas seperti negara Oman mahupun Saudi Arabia. Kita bernasib baik di atas garisan khatulistiwa iaitu panas lembab.
Apa-apa pun, selamat layan ais kacang.


"Daughter - Youth"
Gombak 4.31 PM

Rabu, 5 Februari 2014

Berfikir

Empat tambah lima dapat sembilan
Tujuh tambah dua dapat sembilan
Enam tambah tiga dapat sembilan
Satu tambah lapan dapat sembilan

Cara kita berfikir tentang sesuatu mungkin berbeza antara satu individu dan individu yang lain. Namun pendapatan dan hasilnya mungkin sama. Dalam setiap perkara, toleransi adalah bahagian yang mustahak iaitu menerima dan mengambil kira pendapat mahupun idea setiap individu yang terlibat. Menggunakan modul pemikiran atau pun corak berfikir yang sama sahaja adalah lebih menjerumuskan diri di dalam takuk yang lama serta menyekat hak berfikir individu yang lain. Kreativiti dan idea setiap individu adalah berbeza-beza. Jadi hormati hak berfikir setiap individu.




"Radiohead - 2+2=5"
Gombak 3.39 PM

Khamis, 9 Januari 2014

Pertama

Aku lebih senang menconteng kanvas ini pada dua waktu utama;
krepuskular dan nokturnal. 
Selamat menerima kepunyaan aku;
perkongsian minda
pengalaman hidup
yang caca marba tunggang terbalik
macam rojak





"MGMT - Time To Pretend"
Gombak 1.19 PM