Rabu, 12 November 2014

Pendidikan II

Saya percaya bahawa perubahan kepada keadaan semasa yang dibawa oleh anak muda tidak semestinya berteraskan radikalisme dan pemberontakan. Bagi saya, saya memegang prinsip bahawa sesuatu perubahan itu boleh dilaksanakan melalui aktivisme yang berteraskan humanisme dan pendidikan. Pendidikan mencakupi dengan cara memberi pendedahan tentang sesuatu hal-hal, berkongsi idea-idea dan bertukar pendapat secara kritis sekalipun usaha kecil iaitu dengan memberi pendidikan percuma.

Hal ini kerana ramai anak-anak kecil dari golongan asnaf, anak yatim mahupun anak-anak di luar sana yang kekurangan, kebelakangan dan ketinggalan dari segi pendidikan kadangkala disisihkan atau diperkecilkan. Walhal mereka perlu dibantu kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup seperti anak-anak yang berada untuk ke tusyen atau membeli buku-buku tambahan. 

Pendidikan itu hak setiap insan. Yang penting adalah menanamkan kasih sayang kepada mereka supaya cinta kepada ilmu. Tetapi bukan hanya mengejar gred sahaja namun memaknakan ilmu itu. Jenis pendidikan itu juga merangkumi bahagian-bahagian yang meluas. Yang terutama, semaikanlah sifat cinta akan pembacaan, pengiraan malah seni juga kerana ianya adalah kunci kepada masa hadapan. Dengan pendidikanlah anak-anak ini akan bangun pada masa hadapan. Walaupun ianya hanyalah dengan pendidikan tidak formal atau pendidikan jalanan, sesuatu perkara itu mampu diubah dan diklarifikasikan pada suatu masa nanti.

Tiada ulasan: